30.8.2024 | JUMAAT
Tanggal 31 Ogos setiap tahun adalah hari bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia. Pada hari ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan yang menandakan kebebasan tanah air tercinta dari penjajahan. Sekolah kita turut mengadakan Hari Pelancaran Bulan Kemerdekaan bagi memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga SMK Penanti. Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 pada tahun ini bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
Majlis dimulakan dengan perhimpunan rasmi dan bacaan doa. Pengetua sekolah memberikan ucapan dan menceritakan tentang perjuangan tokoh-tokoh yang membawa Malaysia ke arah kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Seterusnya, wakil murid menaikkan Jalur Gemilang disertai dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik seperti Tanggal, Jalur Gemilang dan sebagainya dari semua warga SMK Penanti. Setiap murid juga membawa bendera masing- masing untuk dikibarkan bersama-sama bagi mencipta suasana patriotik yang penuh semangat.
Sekolah mengadakan pelbagai pertandingan bagi menghidupkan bulan kemerdekaan seperti deklamasi sajak, lukisan bertemakan Hari Kemerdekaan dan sebagainya. Acara ditutup dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.
Semoga sambutan Hari Kemerdekaan ini mampu menjadikan generasi muda lebih menghargai pengorbanan dan jasa pahlawan negara serta memupuk semangat cinta akan tanah air.
Selamat Hari Kemerdekaan!
Recent Comments